Tuesday, March 22, 2011

Pengucapan Awam @ Public Speaking

Ramai antara kita biasa mendengar tentang pengucapan awam. Ada yang gerun setiap kali diminta membuat pengucapan awam, ada yang bersahaja dan ada juga yang yang sangat berkeyakinan. Ramai juga yang keliru apakah persamaan atau perbezaan di antara pengucapan awam dan pidato.

Sumber daripada wikipedia menyatakan bahawa pengucapan awam adalah satu proses bercakap di khalayak ramai atau satu kumpulan manusia melalui cara yang tersusun dengan tujuan untuk memaklumkan, meyakinkan atau menghiburkan pendengar. Ia sangat serasi dengan "mempersembahkan". Semasa pengucapan awam, terdapat banyak bentuk komunikasi yang boleh digunakan dan terdapat 5 elemen asas selalunya dinyatakan begini "siapa bercakap mengenai apa kepada siapa menggunakan kaedah apa dengan kesan@tujuan apa? Pengucapan awam biasanya bertujuan menyampaikan maklumat, memotivasikan manusia untuk melakukan sesuatu atau menyampaikan cerita dan mampu menjadi satu medium yang berkuasa. Seorang penyampai yang baik mampu mengubah emosi pendengarnya, bukan hanya menyampaikan maklumat semata-mata. Pengucapan awam ini merangkumi beberapa komponen termasuk ucapan motivasi, pembangunan kepimpinan, perniagaan, perkhidmatan pelanggan, komunikasi kumpulan yang besar dan komunikasi massa. 

Sesetengah berpendapat bahawa pengucapan awam dan pidato adalah perkara yang sama. Namun, pada pendapat saya pidato dan pengucapan awam adalah berbeza. Pidato adalah salah satu komponen di bawah pengucapan awam di mana pengucapan awam itu sendiri lebih luas skopnya. Ia bukan sahaja terdiri daripada pidato, malahan ucapan biasa, persembahan proposal dan sebagainya. Barang diingat, pidato hanyalah salah satu komponen di bawah pengucapan awam.

Bagi rakan-rakan penjawat awam yang dikehendaki menghadiri kursus induksi, tentu saja topik pengucapan awam inilah yang biasanya membuat kita tidak senang duduk. Berbagai-bagai persoalan yang bermain di fikiran. Bagi mereka yang sudah berpengalaman, mungkin untuk membuat pengucapan awam bukanlah satu masalah, namun bukan semua di antara kita mempunyai kelebihan ini. Pokok persoalan yang paling utama adalah apa itu pengucapan awam? Adakah ia sama seperti pidato? Seperti yang saya nyatakan di atas, maka sekali lagi pendirian saya adalah pidato bukanlah pengucapan awam tetapi ia adalah salah satu komponen di bawah pengucapan awam itu sendiri. Jadi, apabila anda dikehendaki membuat pengucapan awam, tidak semestinya anda perlu berpidato. Sekiranya anda dikehendaki membuat pengucapan awam mengenai apa-apa produk, maka pidato tidak sesuai digunakan. Saya kira pidato lebih sesuai digunakan bagi topik-topik yang bersifat formal, kenegaraan atau semasa anda ingin mempertahankan sesuatu hujah.

Banyak tips yang kita boleh perolehi sama ada melalui carian di internet mahupun melalui ceramah pengucapan awam berhubung teknik pengucapan awam. Namun apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah beberapa tips berhubung pengucapan awam melalui pengalaman saya sendiri walaupun pengalaman yang saya ada ini tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan mereka diluar sana.

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memilih tajuk pengucapan awam yang sesuai. Sekiranya anda dikehendaki membuat pengucapan awam, dan anda telah diberikan tajuk atau skop tajuk, maka langkah pertama ini menjadi lebih mudah berbanding jika anda tidak mempunyai idea langsung berhubung tajuk pengucapan awam anda. Saya berpandangan bahawa, sebelum anda memilih tajuk, anda haruslah membuat sedikit kajian mengenai siapakah pendengar anda? Apakah latar belakang mereka? Dengan membuat kajian mengenai latar belakang pendengar, ia memudahkan anda memilih tajuk yang sesuai dan juga pendekatan yang sesuai. Sebagai contoh, sekiranya pendengar anda adalah dikalangan pelajar sekolah menengah, maka tajuk dan pendekatan yang digunakan biarlah sesuai dengan tahap pemahaman dan penerimaan mereka. Sekiranya anda tidak diberikan apa-apa tajuk, maka pilihlah tajuk yang sesuai dan dekat dengan diri anda. Pilih tajuk yang mana maklumat mengenainya mudah diperolehi. Sebagai contoh, anda adalah seorang pegawai kewangan, maka pilihlah tajuk yang bersangkut paut dengan aspek kewangan, dan jangan pula cuba-cuba bercakap mengenai perubatan. Pilih tajuk yang mudah untuk kita kuasai kerana sekiranya anda berdiri sebagai pengucap awam untuk meyampaikan maklumat atau untuk mempengaruhi orang lain, maka sekurang-kurangnya anda perlu lebih tahu berbanding pendengar anda. Dengan cara ini juga, ia dapat membantu anda semasa menyampaikan ucapan. Selain itu. anda juga boleh memilih tajuk berhubung isu semasa kerana maklumatnya lebih mudah diperolehi dan pendengar akan tertarik untuk mendengar. Kalau boleh, cari satu tajuk yang mudah tetapi menarik. Pastikan juga terdapat sesuatu yang baru untuk dikongsikan di dalam maklumat yang ingin anda sampaikan supaya pendengar akan terus mendengar.

Perkara kedua adalah anda perlu menyediakan teks ucapan awam sekiranya anda diberi masa untuk membuat persediaan. Di dalam teks ucapan anda selitkanlah unsur-unsur jenaka, atau mungkin pantun, atau baris-baris sajak sebagai daya penarik atau gimik. Ia juga salah satu cara membolehkan pendengar terus mendengar ucapan anda. Pastikan ucapan anda mempunyai kata-kata aluan sebagai pendahuluan, isi kandungan dan seterusnya penutup. Beri tekanan kepada isi yang ingin anda sampaikan supaya pendengar dapat memberi perhatian setiap kali anda menyampaikan isi kandungan baru. Sebagai contoh "...persoalan pertama yang ingin saya kupas adalah......", atau mungkin juga "....hujah saya yang pertama adalah bertunjangkan .......". Ia bukan sahaja memudahkan anda menyampaikan ucapan dengan lebih teratur dan tersusun, malahan pendengar atau panel juri juga dapat mengenal pasti apakah sebenarnya yang ingin anda sampaikan. 

Sekiranya anda mampu, maka anda boleh menghafal teks ucapan awam anda. Tetapi saya percaya ramai yang kurang mampu berbuat demikian termasuk saya sendiri. Maka apa yang boleh anda buat ialah biasakan diri dengan tajuk ucapan awam anda dan carilah maklumat sebanyak yang boleh mengenainya. Oleh yang demikian anda tidak akan putus idea apabila bercakap mengenainya. Selain itu, yang biasa dilakukan ialah dengan mengingat kata kunci di dalam teks ucapan anda. Setiap perenggan teks ucapan yang telah anda sediakan, buatlah satu kata kunci. Maka ia akan membantu anda mengingati apa yang perlu anda ucapkan. Selain itu, kad-kad kecil juga boleh disediakan. Ia amat penting lebih-lebih lagi jika anda mempunyai masalah menggigil apabila bercakap di khalayak ramai. Sekiranya anda memegang teks ucapan yang dicetak di atas kertas A4 yang besar, maka kesan menggigil itu lebih mudah dilihat dan ia akan menambah kegugupan anda. Jadi, berusahalah untuk menyediakan kad-kad kecil bagi teks ucapan anda kemudian bacalah teks tersebut berulang kali.

Anda perlu tahu menggunakan intonasi dengan baik. Di mana anda perlu menjerit menegaskan hujah dan di mana anda perlu merendahkan suara anda. Hal ini amat penting kerana sekiranya anda tidak menggunakan intonasi yang betul ditempat yang betul, maka ia akan menunjukkan kepincangan di dalam pengucapan awam anda. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak di dalam pengucapan awam, tandakan pada teks ucapan anda di mana perllu anda menggunakan intonasi tinggi dan rendah. Bahasa tubuh seperti mimik muka, pandangan mata dan pergerakan badan juga membantu anda menyampaikan pengucapan awam dengan baik. Tidak lupa juga senyuman.

Semasa membuat pengucapan awam, anda juga mungkin tidak mempunyai keyakinan diri. Pendengar yang ramai memenuhi dewan boleh menggugat keyakinan anda. Sebagai permulaan, apa yang boleh anda buat ialah pandang seseorang yang anda kenal seolah-olah anda hanya bercakap dengannya. Namun, 'eye contact' amat penting semasa pengucapan awam, maka sesekali anda perlu mengerling pendengar yang lain (terutamanya juri jika ada) tetapi jangan pandang tepat di mata kerana ia boleh menambah kegugupan. Lama-kelamaan, semua ini bukanlah satu masalah bagi anda. Sebenarnya gugup adalah perkara biasa yang dialami oleh semua pengucap awam, cuma masing-masing ada cara tersendiri untuk mengatasinya.

Ini saja yang dapat saya kongsikan buat kali ini. Di bawah ini ada saya selitkan teks pengucapan awam saya semasa saya menyertai Pertandingan Pengucapan Awam Sempena Hari Inovasi. Alhamdulillah saya menduduki tempat pertama di dalam pertandingan tersebut bagi kategori saya. Mungkin teks tersebut dapat membantu anda mencari-cari idea. 


1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN, laungan yang tidak asing lagi meniti dari bibir ke bibir didengar dari telinga ke telinga dihayati dari hati ke hati, begitu serasi dengan agenda inovasi negara bagi melahirkan bakat berdasarkan semua rakyat Malaysia.

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih pengacara majlis, yang saya hormati dif-dif kehormat menyeri majlis, saf juri yang berpaksikan keadilan, saudara penjaga masa yang setia, rakan-rakan seperjuangan yang saya geruni seterusnya hadirin yang saya muliakan.

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;  
Assalamualaikum mulanya kata,     
Saya sembah pembuka bicara.                        

Tinggi-tinggi pohon pulasan,
Tinggi lagi si pohon ara,
Rai kreativiti realisasi wawasan,
Inovasi menjana 1Malaysia

Sebelum madah bersulam indah, sebelum fakta menyusur kata, izinkan saya mendifinisikan secara literal mahupun konseptual, agar yang kabur dijelaskan yang gelap diterangkan. Inovasi secara literalnya menurut Kamus Dewan Edisi Empat ditakrifkan sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem dan lain-lain.

Dalam konteks yang lebih dekat menurut Yayasan Inovasi Malaysia inovasi dapat digambarkan sebagai kreativiti yang dilaksanakan. Inovasi adalah satu proses menempatkan idea kepada amalan. Inovasi menambah nilai idea dan jika idea diibaratkan sebagai benih, maka inovasi adalah pokoknya. Menjana menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu ditafsirkan sebagai menghasilkan atau mengeluarkan.

1Malaysia pula menurut buku kecil 1Malaysia terbitan Pejabat Perdana Menteri, adalah satu gagasan memupuk perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum berteraskan kepada beberapa nilai-nilai penting. Maka adalah dirumuskan bahawa inovasi menjana 1malaysia secara konteksnya dapat ditafsirkan sebagai KREATIVITI YANG DILAKSANAKAN MENGHASILKAN GAGASAN PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA.

Hadirin yang saya muliakan, Tiada tunjang akar, pokok tidak tegak berdiri, tanpa tunjang hujah, pengucapan saya tidak bererti. Hujah saya yang pertama adalah berteraskan bagaimana inovasi mampu menjana 1Malaysia. Sebelum langkah diorak lebih jauh, biar kita kupas apakah itu 1Malaysia.

1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 tercapai. Dibawah formula ini, konsep 1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu Penerapan Teras-teras Perpaduan dan Penerapan Nilai-nilai Aspirasi. Tanpa kedua-dua aspek ini maka gagallah formula 1Malaysia.

Namun,
Patah rotan tali bersilang,
Batang meranti rimbun berjejal,
Langkah pahlawan ditengah gelanggang,
Berpantang mati sebelum ajal

Hadirin yang saya muliakan,
Tumpuan pada hari ini adalah kepada aspek kedua pelaksanaan konsep 1Malaysia iaitu Penerapan Nilai-nilai Aspirasi di mana dapat saya buktikan disini bagaimana inovasi mampu menjana 1Malaysia. Ia dapat dilihat di mana budaya inovasi itu sendiri merupakan salah satu daripada 8 nilai-nilai aspirasi yang menjadi tunjang kepada aspek Penerapan Nilai-nilai Aspirasi yang akan merealisasikan 1Malaysia.

Melihatkan bahawa budaya inovasi ini merupakan salah satu daripada nilai-nilai aspirasi tersebut, jelaslah bahawa inovasi akan menjana 1Malaysia. Inovasi adalah asas kepada pertumbuhan dan kemajuan negara sebagai pemangkin yang menentukan acuan dan kepantasan kita. Bagi Malaysia, ia merupakan teras peralihan kepada ekonomi yang diterajui teknologi dan penting dalam mengekalkan kelebihan daya saing negara.

Perubahan yang berlaku hari ini memerlukan kerajaan dan industri meletakkan inovasi serta daya kreatif sebagai faktor utama mencapai anjakan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam penerapan budaya inovasi, rakyat Malaysia perlu mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan. Kita perlu dikenali sebagi individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing.

Kita mesti berani berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis. Betul, kita lah. Jangan selalu hanya mengharap pada orang lain.

Tangan digarap suka berkebun,
Tebang nenas di tepi paya,
Jangan diharap setitik embun,
Kena panas keringlah ia.

Hadirin yang saya muliakan, Nah, kita telah lihat bagaimana inovasi menjana 1Malaysia. Kini hujah saya yang kedua akan berteraskan bagaimana penerapan inovasi itu sendiri ke arah merealisasikan gagasan 1Malaysia. Dalam usaha memastikan inovasi menjana 1Malaysia, pelbagai langkah turut diambil. Jangan seperti tin yang kosong, berbunyi lebih isi tiada.

Malaysia Inovatif 2010 telah dilancarkan bagi mewujudkan masyarakat kreatif dan berinovatif bagi memperkasakan negara. Ia merupakan kick start pencetusan idea-idea inovasi ke segenap lapisan masyarakat dari pencipta dan saintis sehingga kepada masyarakat akar umbi. Selain itu, ia merupakan satu kaedah bagi memberi suntikan inovasi dan kreativiti ke dalam masyarakat melalui pembangunan ekosistem yang berupaya melakukan perubahan ke arah itu. Inovasi telah diletakkan dilandasan yang betul dalam memajukan ekonomi negara termasuk memberi fokus kepada k-ekonomi. Selain itu, Malaysia telah melengkapkan gagasannya dalam bidang inovasi dengan kewujudan Pusat Inovasi Negara dan Dasar Inovasi Negara. Antara program-program yang direncanakan bagi menyemarakkan inovasi termasuklah 1Malaysia Innovation Tournament dan Festival Malaysia Inovatif.

Tidak ketinggalan juga MyIdeas yang menjadi platform di mana kreativiti rakyat Malaysia diiktiraf dan diberi ganjaran di mana idea yang terbaik akan direalisasikan menjadi kenyataan. Ia juga menggalakkan dan menghimpun idea-idea daripada setiap lapisan masyarakat dan memanfaatkan idea-idea tersebut menjadi amalan terbaik dengan objektif untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.

Hadirin yang saya muliakan,
Inovasi dan kreativiti sebenarnya merentasi semua lapisan masyarakat dan merangkumi semua aspek kehidupan, pembangunan dan kemajuan. Ia melibatkan penemuan yang memudahkan proses kerja dan dalam masa yang sama meningkatkan produktiviti atau mutu hasil kerja secara ketara. Inovasi menjadi pemacu ekonomi negara dalam menghadapi cabaran-cabaran global dewasa ini.

Hadirin yang saya muliakan,
Kita telah pun melihat bagaimana inovasi diterapkan di dalam masyarakat segenap lapisan. Sekarang, hujah saya yang ketiga adalah berteraskan kepada pencapaian inovasi negara.

Malaysia telah melonjak 3 anak tangga berbanding kedudukan tahun 2007. Singapura telah jatuh ke tangga 17 berbanding tangga 16 sebelumnya, Thailand menurun ke tangga 58 daripada tangga 53 sebelumnya dan Indonesia pula kekal di tangga 74. Global Innovation Output Index pula meletakkan Malaysia di tangga ke 30 daripada 132 negara manakala Global Innovation Input Index meletakkan Malaysia di tangga ke 29 daripada 132 buah negara. Selain itu, Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke 24 daripada 133 negara bagi kecanggihan dan inovasi perniagaan oleh Forum Ekonomi Dunia di dalam Laporan Daya Saing Global 2009-2010. Kedudukan ini telah mengatasi New Zealand pada kedudukan ke 27, China pada kedudukan ke 29 dan Itali pada kedudukan ke 34.

Namun begitu, kedudukan ini mampu ditingkatkan lagi melalui pembudayaan inovasi di kalangan sektor awam dan swasta.kita tidak harus mudah berpuashati dengan pencapaian pada hari ini. Biarpun ia sesuatu yang boleh dibanggakan, masih banyak yang perlu kita kejar ke arah mencapai Wawasan 2020. Kerajaan telah memperkenalkan prinsip 1Malaysia sebagai senjata bagi mempertingkatkan prestasi yang mana inovasi adalah sebahagian daripadanya.

Apa guna kepuk di ladang,
Kalau tidak berisi padi,
Apa guna senjata di pinggang,
Kalau tidak berani mati.

Pada keseluruhannya negara berada pada kedudukan yang baik berbanding dengan kebanyakan negara di rantau ini dari aspek inovasi. Kajian Economist Intelligence Unit yang diterbitkan dalam bulan April 2009 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke 31 daripada 82 buah negara dalam prestasi indek inovasi.

Hadirin yang saya muliakan,
Kesimpulannya telah saya kupaskan pokok pengucapan awam inovasi menjana 1Malaysia melalui 3 teras hujah iaitu pertama bagaimana inovasi mampu menjana 1Malaysia,  kedua bagaimana penerapan inovasi itu sendiri dalam masyarakat Malaysia ke arah merealisasikan gagasan 1Malaysia dan ketiga pencapaian inovasi negara.

Jelas sudah, inovasi menjana 1Malaysia. Tuntasnya, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara Malaysia maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia.

Anak dara menumbuk pandan,
Membuat kuih hidangan kenduri;
Ilmu yang baik jadikan teladan,
Segala yang buruk simpan ke tepi.

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta

Sekian saya akhiri pengucapan awam saya dengan wbt.

11 comments:

  1. good info la pn Adora...i nk study ni...hahaha

    ReplyDelete
  2. saya ambil teks ni untuk pengucapan awam saya ok???

    ReplyDelete
  3. thx pn adora...sy br nk study utk public speaking utk PAC gred S27 khamis nhe...huhu..last2 jmpa gak ...thx sgt2...

    ReplyDelete
  4. salam..thanx Pn Adora atas perkongsian..kalau saya ambil teks ni untuk pidato boleh x?tapi, apa yg membezakan pidato dgn pengucapan awam ye?puan ada nyatakan pidato di bawah komponen pgucapan awam..saya kena paksa rela masuk pidato inovasi d jbtn saya..huhu, xde idea langsung..5 tajuk telah disediakan, cuma kena buat pilihan je..tp saya x reti, apa point nak masuk utk pidato yg diberikan tempoh 5minit..5minit tu rasa mcm lama sgt. :(

    Nur

    misscindut_2001@yahoo.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. mnta maaf sy baru baca komen ni. da dekat setahun da... =) saya rasa sy ade nyatakan pidato n pengucapan awam ni lebih kurg. tp teknik pengucapan awam ni menurut pengetahuan sy lebih luas, pn bule guna slide dsbnya. tp dr konteks pertandingan pengucapan awam, dia mmg lebih kurg je dgn pidato. hampir tiada beza. klu masa yg diberi tu cuma 5 minit, mmg sekejap je tu. sllu kita mmg guna 3 isi. so klu 5 mnt, tolak pendahuluan, tolak penutup, utk 3 isi tu lebih kurg 10ayat je. =) gudluck.

      Delete
  5. Salam Siti Adora,

    Jelas sekali teks ucapan yang dikongsikan amat menarik sekali. Saya pasti dan yakin bahawa cara anda berucap sememangnya mantap dengan gaya bahasa badan yang sempurna, isyarat tangan dan tutur kata yang tersusun, mengingati setiap patah perkataan dalam nota, tiada unsur kegugupan, latihan yang berterusan. Tahinah di atas kejayaan.

    Saya amat meghargai jika anda dapat berkongsi dengan kami bagaimana untuk berucap tanpa menggunakan nota atau seseorang diberikan tugas untuk berucap secara spontan.

    Terima Kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kerana membaca tulisan saya. sejujurnya sy tidaklah sehebat seperti yg en zafifi bayangkn. =) sy malas nk berlatih. hehehheee...

      utk berucap tanpa nota/spontan:

      1. encik perlu benar2 memahami mengenai topik yg perlu diucapkn. cth masa saya pidato spontan masa tu sy masih sekolah rendah. saya dpt tajuk peranan PIBG, walhal saya lgsg tak tau ape tu PIBG, so sy mmg xdpt berucap dgn baik. bila tahap kita semakin tggi maka tajuk yg kita dpt akn lebih mencabar. msti sllu ade perkataan transformasi la, inovasi la... bergantung pd tema pertandingan pidato tersebut. so perkataan2 pelik ni kita kna kuasai. kna faham ape maksudnya. l;u encik dpt memahami topik yg diberikn insyaAllah encik boleh berucap dgn baik.

      2. tidak semestinya encik perlu menghafal nota. tetapi encik perlu ingt setiap keypoint. hujah2 yg akn encik bentangkn. biasanya setiap pidato/pengucapan awam kita akn bwk paling byk pon 3 point. so susah ke nk hafal 3 point ni?? =) hehehehheee.... bila kita ingt point, ingt sikit2 huraiannya, dan ingt cthnya. itu shj. klu encik ade kebolehan utk hafal teks yg pnjg, jd xde masalah bg encik. tp klu susah nk hafal, ingt keypoint je, ingt huraian sikit dan ingt cth. jgn terlalu bergantung dgn ayat2 dlm teks. bila kita ingt keypoint, the next is kna tau ape yg kita nk ckp. itu shj. cth klu kita nk masukkn statistik, tak semestinya statistik tu tepat. takde sape nk semak pon. hakim pon xsempat nk semak. so bg je la anggaran kasar.

      3. persediaan awal. yg ni sbnrnya paling pntg tp susah nk buat lebih2 lagi klu ade kekangan masa dan sebagainya. klu bule buatla persediaan awal. cari maklumat lebih awal. bile kita cari maklumat sendiri, itu akn membantu kita lebih mudah memahami apa yg kita nk ckp. sediakn teks lebih awal.... bile teks da ade, mudahla kita nk berlatih. baca teks tu 5 6 kali sehari. tengok tulisan pada teks tu. itu akn membantu kita ingt balik mase nk berucap nnt.

      sy rasa ini je tips yg dpt sy kongsikn menurut pengalaman saya. =) semoga berjaya.

      Delete
  6. teks sy tu sebenarnya agak panjang. anda perlukn kelajuan maksimum semasa berucap. nasihat sy adalah pendekkn teks, satu isi satu perenggan pon da cukup. plg byk pon 2 perenggan. ia akn memudahkn anda utk menhafal teks tersebut.

    ReplyDelete